Pages

Thursday, November 25, 2010

Nasihat Untuk Anak


Luqmanul Hakim menasihati anaknya :

"Wahai anakku, dampingilah selalu para ulama dan jangan engkau banyak berdebat dengan mereka agar kamu jangan dibenci oleh mereka."

"Ambillah dari dunia sekadar keperluan dan biayakanlah (belanjakan) kelebihan hasil usahamu untuk Akhirat. Dunia jangan ditolak semua agar engkau tidak menjadi ‘parasit’ (orang yang menumpang hidup pada orang lain tanpa membalas apa-apa) yang menyusahkan manusia (orang) lain."

"Berpuasalah selalu untuk menundukkan nafsumu, tetapi jangan sampai meletihkan badan mu sehingga merosakkan sholatmu kerana sholat itu lebih utama dari puasa sunat."

"Janganlah engkau duduk berteman dengan orang yang bodoh, sombong dan jangan didekati orang yang bermuka dua."
 

Wednesday, November 24, 2010

Bersangka Baik Sesama Insan


Berikut  adalah tips dari Syeikh Abdul Kadir Al Jailani, untuk sentiasa bersangka baik sesama insan.

Jika kamu bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan (dalam hatimu) : "Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dari ku".

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) : "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak membuat maksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu): "Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu): "Orang ini memperolehi kurnia yang tidak akan ku perolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah ku capai, mengetahui apa yang tidak ku ketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) : "Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya, padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) : "Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan melakukan kemungkaran.  Na`uzubillah…

Sekadar berkongsi peringatan dan maklumat dari email yang di terima dari seorang sahabat.

Tuesday, November 23, 2010

Andainya Dia Pergi Dulu...


Saya ingin mengajak anda semua agar kita sama-sama merenung dan memikirkan apakah yang harus kita lakukan, atau apakah kewajipan kita terhadap keluarga atau saudara mara kita yang baru sahaja kematian insan tersayang, atau ahli keluarga yang paling dekat dihati kita.

Setiap yang bernyawa akan merasai mati.. Itu adalah PASTI.. Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya` ayat 35, yang bermaksud;
"Setiap diri (yang bernyawa) mesti merasai mati, kami akan uji kamu dengan kejahatan dan kebaikan, sebagai satu ujian, kepada kami kamu akan dikembalikan". 

Dan dalam Surah Al-Ankabut, ayat 57 pula Allah berfirman dengan maksudnya; 

"Setiap diri (manusia) mesti merasai mati, kemudian kepada kami kamu dikembalikan".

Cuma kita tidak tahu bilakah masanya kita akan meninggalkan dunia yang sementara ini. Meninggalkan orang-orang yang kita sayangi, ibu bapa, suami atau isteri, anak-anak dan saudara mara, jiran serta rakan taulan kita.. Itu adalah urusan Allah s.w.t.. Dia yang menentukan segala kejadian. Yang penting adalah persediaan kita. Apakah persediaan yang telah kita lakukan untuk kita, yang akan pergi; dan untuk mereka, yang akan kita tinggalkan.  Sama-sama lah kita renungkan..
Andai dia pergi dulu sebelum kita, sapulah airmata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya.  Tidak mengapa, bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa.  Namun, sederhana lah, kerana esok kau mesti bangkit semula.  Katakan pada diri, ya...kau telah pergi, pergi bersama doaku.  Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!
Andai dia pergi dulu sebelum kita, tanyakan pada hatimu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi mu?  Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikiran melampaui kesedihan.  Anak-anak mu punya masa depan.  Di tangan mu segala cita-cita dan harapan.  Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan.  Apakah kau tega mengecewakan mereka?
Andai dia pergi dulu sebelum kita, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di alam barzakh itu oleh nukilan doa anak-anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak anak itulah titiannya.  Di jambangan munajat, ditaman ibadah, tentu ada sungai pahala, yang mengalir selamanya.
Andai dia pergi dulu sebelum kita, walaupun dia tidak kembali lagi, tetapi itulah akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu.  Ini lah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah apabila ditinggal kan Rasulullah s.a.w.  Syukur, kau terpilih untuk melalui ujian mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi - tradisi hidup Ummahatul Mukminin yang ditinggalkan suami.
Andai dia pergi dulu sebelum kita, sibukkan lah dirimu.  Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakan lah diri mu dengan mengembirakan orang lain.  Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan di bumi Allah.  Apabila sesekali kesedihan datang tanpa di undang, berwudhu` dan bacalah Al-Quran.  Dirikan solat, sesungguhnya solat itu satu kerihatan. Begitulah setiap kali Rasulullah s.a.w. apabila terasa gundah.. di adukan kesedihan kepada Allah.
Andai dia pergi dulu sebelum kita, bisikkan ke dalam hatimu yang paling dalam.  Dia bukan milikmu. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segalanya ialah Al-Maliik.  Dia lah yang memiliki dan menguasai segala-galanya.  Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki.  Apabila terasa sepi, jangan katakan aku sepi, tapi katakan; padaku sentiasa ada Pemerhati. Teruskan usaha mu meraih bekalan dengan meningkatkan amal ibadah untuk dipersembahkan kepada Pencipta mu, kerana kau juga akan menyusul apabila janji untukmu telah tiba..

Semoga artikel ini dapat memberi peringatan kepada kita termasuk diri saya sendiri,  yang masih hidup dan mempunyai ruang dan peluang untuk memperbaiki diri, seterusnya menjadikan diri dan keluarga kita cemerlang di sisi Allah s.w.t.   

Monday, November 22, 2010

Al-Quran Penyuluh Kehidupan

Kalam Suci Kalam Allah

Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diberi oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk difahami dan diyakini oleh umat Islam seluruh dunia.

Al-Quran juga mengandungi pedoman dan panduan kehidupan kepada kita untuk meyakini kebesaran dan kesucian Islam. Bagaimana pun, sekiranya Al-Quran ini tidak dibaca, dikaji dan difahami isi kandungannya, maka mukjizat mukjizat Al-Quran itu tidak mungkin akan diketahui.

Al-Quran mempunyai 30 juzuk, 60 hizb, 240 ruboq, 114 surah, 6236 ayat, 77,437 kalimah dan 323,671 huruf. Al-Quran bukan sahaja memberi petunjuk (huda) dalam kehidupan kita, malah memberi cahaya (nur), penyembuh (shifa`) dan rahmat (rahmah) kepada pembacanya. Ia adalah bekalan menuju akhirat.

Firman Allah dalam surah al-Ma`idah ayat 15-16: "Terjemahannya: Sesungguh nya telah datang kepada mu cahaya yang terang dan kitab yang nyata dari Allah". "Dengan kitab itu, Allah memberi petunjuk kepada orang yang mencari keredhaannya kepada jalan selamat dan mengeluarkan mereka itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang dengan izinnya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus."

Di antara hadis2 yang ingin saya kongsi bersama adalah:-

1.    "Barang siapa yang perhatiannya sentiasa kepada Al-Quran, dan ingat kepada Ku (Allah), dan selalu memohon kepada Ku, Aku beri kepadanya lebih utama daripada apa yang Aku berikan kepada orang2 yang memohon."

2.    "Barang siapa membaca satu huruf dari kitab Allah (Al-Quran), baginya akan diberi balasan satu kebaikan dan tiap2 satu kebaikan itu, sama dengan 10 kebaikan."

3.    "Hendaklah kamu membaca Al-Quran kerana ia adalah cahaya yang cemerlang bagimu di muka bumi.. dan perbendaharaan yang berharga di atas langit."

4.    "Hendaklah kamu membaca Al-Quran kerana sesungguhnya Allah itu tidak akan menyiksa hati orang yang memelihara Al-Quran."

5.    "Kitab Allah itu (Al-Quran) ialah tali Allah, yang dihulurkan dari langit sampai ke bumi."

6.   "Bacalah oleh kamu akan Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembacanya".

Semoga apa yang dikongsikan ini dapat memberi suntikan semangat dan dapat memberi manafaat kepada anda semua, sebagai ingatan dan renungan bersama dalam menjadikan kita, cinta Al-Quran, InsyaAllah... 

Friday, November 19, 2010

Tenaga Bio-Elektrik Bertambah Dengan Berzikir

Ucapkanlah!

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, Lailahaillallah..


Apabila kita berzikir, mengulangi kalimah-kalimah memuji Allah seperti Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar, secara automatik beberapa kawasan otak yang terlibat semakin aktif, sekali gus menambah tenaga bio-elektrik.

Lama kelamaan sekumpulan 14 juta saraf yang membentuk otak kita saling mempengaruhi sekumpulan 16 juta saraf tubuh supaya turut aktif dan saling berinteraksi.

Pada masa yang sama, semasa berzikir, otak kita menjadi aktif secara keseluruhan disebabkan semua aktiviti zikir yang kita lakukan tadi natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Justeru, otak mereka yang selalu berzikir terdorong memahami perkara baru. Mampu melihat dari sudut perspektif berbeza, semakin kreatif dan kritis. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati kita untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Dalam satu ujian imbasan mengukur kadar aktiviti otak manusia di Universiti Washington, membuktikan otak mampu bertindak balas apabila diulang ulangi sebutan perkataan yang sama, mempamirkan peningkatan aktiviti saraf dan seterusnya merebak ke kawasan lain dan mengaktifkannya.

Penemuan menakjubkan ini dimuatkan dalam majalah Scientific American pada tahun 1993. Tatkala saintis Barat menemui keajaiban ini, kita umat Islam telah lama mengamalkannya dan mendapat manfaat melalui zikir.

Sedihnya, masih ramai umat Islam yang masih mengambil ringan dan mengabaikan kepentingan berzikir yang sangat bermanafaat ini.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 152 menyatakan, "Maka ingatlah kepadaKu supaya Aku ingat pula kepadamu".

Hadis Qudsi: Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya  dengan berlari-lari kecil. (Sahih Bukhari)

Bicara Keinsafan

Kita adalah seorang hamba
Hamba kepada Allah Yang Esa
Hamba yang tunduk ke bumi
Merendah diri mohon dikasihi
Di bumi yang fana ni...
Kita adalah sang musafir
Yang berjalan dan berkelana
Di kampung yang sementara

Akan tiba masanya kita kan keletihan
Sampai waktunya kita hentikan perjalanan
Dari terus bermusafir ke hujung dunia
Dari terus berkelana mencari harta
Dari terus belayar mengejar mimpi
Sudahkah kita fikir dan sedar
Ke manakah tujuan kita?
Apa sebenarnya yang kita cari?
Apa nilainya disisi Allah?

Kita hanya seorang hamba
Yang perlu bersedia untuk pulang
Telah ditentukan masa dan ketikanya
Apakah sudah cukup bekalan kita?
Persoalkan pada diri sendiri
Mana dia amalan kita selama ini?
Bagaimanakah amalan dihari esok
Yang boleh dijadikan jambatan
Menuju ke kampung abadi

Aku merenung dan berfikir
Usah dipersia peluang yang ada
Sebelum menyesal, insaflah
Bawalah hati kepada Tuhan
Sementara masih berkesempatan
Tidak akan hadir hidayah itu
Melainkan daripada Allah jua
Subhanallah, Alhamdulillah...

Thursday, November 18, 2010

Ada Hikmah Apabila Kita Diuji





Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat.  Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian.  Hikmah hanya dapat ditempa oleh "mehnah" - didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.  Rasulullah S.A.W. bersabda, "perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya dan tinggallah yang baik sahaja!"

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf, qanaah daripada Tuhan?  Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi - yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.

Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah? (Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya.  Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan.  Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: "Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah...

Marilah kita sama-sama bantu diri kita membersihkan hati dari segala kekotoran dengan memperbanyakkan zikrullah.  Itu lah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat nanti.  Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air.  Tanpa zikir, hati akan mati.  Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah menjadi teras dan asasnya. InsyaAllah, dengan zikrullah, hati akan menjadi lapang. Inilah bukti keadilan Allah meletakkan kebahagiaan kepada zikrullah - sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tanpa mengira pangkat dan darjat, kaya dan miskin, jelita dan hodoh.  Dengan itu, semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya.  Rupa-rupanya, yang dicari itu terlalu dekat, hanya berada dalam hati sendiri sahaja.


Sumber ilmu ini diperolehi melalui pembacaan dari Majalah Solusi.

Renungilah Perjalanan Hidup Kita


Dalam merenung redupnya mentari senja
Mendongak ke langit, luas terbentang saujana mata memandang
Allah Maha Besar.. tujuh petala langit, tujuh petala bumi
Yang diciptakan untuk makhluk-makhluk-Nya
Itulah petunjuk keajaiban yang harus dipelajari dan dihayati
Agar kita lebih mengerti tentang kehidupan

Indahnya hidup ini..
Semua sudah terpahat dalam janji ALLAH
Sebuah perjalanan manusia dari awal hingga akhir
Ditentukan lahirnya, jodohnya, rezekinya dan matinya
Jika mengikut kehendak hati manusia
Punah segalanya tanpa aturan
Dunia mahu dikuasai, hidup tak nak mati
Kegagalan tidak mahu ditempuhi
Maka tiadalah ilmu, tawakal, redha dan hikmah

Jika amal dan bakti cuma setitik nila di lautan
Berusahalah meraih dan menabur sebelum kita pergi
Dunia ini hanyalah pinjaman semata
Sebuah ceritaria dan sandiwara
Tentang perjalanan hidup manusia sebelum dimatikan
Semuanya ketentuan.. Allah yang merencana

Sebuah perjalanan samada akhirnya baik atau sebaliknya
Semua pasti berakhir dengan kematian
Nikmatilah apa adanya tanpa keluhan
Usaha dan tawakal dalam perjuangan
Mengabdi dan menyerah diri hanya pada ILAHI

Seputih Salju Sesuci Embun Pagi







3T (Taubat, Tasbih, Tahajjud) = Tenang


Allah menyatakan dalam Al-Quran, semua makhluknya bertasbih kepadaNya kecuali manusia yang sombong dan manusia yang ingkar serta lalai.  Antara Firman Allah itu adalah seperti berikut:

Orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat kami, hanyalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengannya (ayat-ayat kami), mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, dan mereka tidak menyombong kan diri. (As-Sajdah; ayat 15)

Tidak kah engkau tahu (Muhammad), bahawa kepada Allah lah bertasbih, apa yang di langit dan di bumi, dan juga burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing sungguh telah mengetahui cara berdoa dan bertasbih.  Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. (An-Nur; ayat 41)

Malaikat-malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih dengan memuji Tuhannya dan mereka beriman kepadaNya serta memohon keampunan bagi orang-orang yang beriman. Mereka berkata, “Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu yang ada pada-Mu meliputi segala sesuatu. Oleh sebab itu, berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan agama Mu. Selamatkanlah mereka daripada azab neraka.  (Al-Ghafir; ayat 7)

Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun yang tidak bertasbih dan memujinya, tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Sungguh, Allah Maha Penyantun dan Maha Pengampun (Al-Isra`; ayat 44)

Maka bertasbihlah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Maha Besar (Al-Waqi`ah; ayat 96)

Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi sentiasa bertasbih kepada Allah.  Maha Menguasai, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa,  Maha Bijaksana. (Al-Jumu`ah; ayat 1)

Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.  Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang (Al-Ahzab; ayat 41-42)

Sebutlah nama Tuhanmu Allah, dan beribadahlah kepadaNya dengan penuh ketekunan (Al-Muzzammil; ayat 8)

Begitulah, Rasulullah saw pun sentiasa ingat  kepada Allah seperti di dalam sabdanya “Kedua mataku menidurkan aku tetapi hati ku tidak tidur”.

Nabi Muhammad mengajar cara mengerjakan solat sunat tasbih kepada umatnya melalui bapa saudara beliau iaitu Abbas bin Abdul Mutalib. Nabi turut mengajarkannya kepada puteri beliau, Fatimah. Zikir tasbih yang diajarkan adalah seperti berikut; "Subhanallah, Alhamdulillah, Wa La Ilaha illallahu Wallahuakbar".

Sebahagian Ulama` menyebutnya sebagai tasbih Fatimah dan ia dibaca sesudah solat wajib sebagai zikir yang terdiri daripada bacaan Subhanallah, Alhamdulillah wa La ilaha illallahu Wallahuakbar, masing-masing sebanyak 33 kali.

Nabi Muhammad juga mengajarkan suatu tasbih kepada isteri beliau, Juwairiah. Tasbihnya adalah seperti berikut; "subhanallahi wa bihamdihi, `adada khalqihi, wa ridha nafsihi, wa zinata`arsyihi, wa midada kalimatihi.”  Menurut Nabi Muhammad, zikir dan tasbih yang diajarkan kepada Juwairiah ini adalah lebih utama di sisi Allah daripada zikir dan tasbih lainnya. (Hadis lapuran Muslim)

Maka hikmah seorang hamba yang bertasbih kepada Allah adalah dia, mendapat pancaran cahaya kesucian Allah.  Cahaya kesucian itu memancar dan menerpa relung hati hambaNya yang mukmin. Hati yang menerima cahaya Allah menjadi suci, bersih dan bercahaya. Dalam hal ini, Allah memberi petunjuk kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki, bertepatan dengan ayat berikut; “Yahdillahu li nurihi man yasya’u’.” Maksudnya, “Allah menunjukkan cahayaNya kepada hambaNya yang Dia kehendaki.”

Perkongsian ilmu tentang Asas Perintah Bertasbih ini di petik melalui pembacaaan dari buku 3T (Taubat, Tasbih, Tahajud).  Semoga kita sama-sama memperolehi manfaat daripadanya.

Wednesday, November 17, 2010

Doa itu Ibadah

 
Suatu aspek yang tidak dapat diabaikan dalam rangka "taqarrub" di samping zikir ialah doa, iaitu seruan, permohonan atau permintaan yang semata-mata ditujukan kepada Allah s.w.a. dalam pelbagai hajat dan keperluan.

Dari Nu`man bin Basyir, dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa doa itu adalah ibadah. Sementara dalam hadis riwayat Anas r.a. dijelaskan bahawa doa itu adalah "sumsum" ibadah. Dengan demikian jelaslah bahawa doa itu tidak dapat dilepaskan daripada ibadah.

Hamba hamba Allah yang lemah dan faqir dari bawah memerlukan pertolongan nya dari atas, maka Allah yang Maha Tinggi dan Maha Kaya menyediakan segala macam perbendaharaan rahmat dan nikmat yang dicucurkannya kepada sesiapa yang meminta, memohon dan menyeru kepadanya dengan segala tadarru` sesuai dengan peraturan yang digariskan dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Betapa tingginya nilai dan peranan doa itu juga telah ditegaskan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:- "Tiada satu pun (amal hati) yang lebih mulia menurut pandangan Allah selain daripada doa."

Antara firman Allah yang berkaitan dengan doa atau permohonan:-

1)    "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, Dia tidak menyukai orang2 yang melampai batas." (Al-`Araf ayat 55)

2)    "Maka ingatlah kepada ku, aku akan ingat kepada mu. Bersyukurlah kepada ku, dan janganlah kamu ingkar kepada ku." (Al-Baqarah ayat 152)

3)    "Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa, apabila dia berdoa kepada ku." (Al-Baqarah ayat 186)

Rintihan Redha Ilahi


Malam kian berlabuh menyirnakan fajar
Menjemput subuh menghiasi alam
Berlalu purnama yang bertemankan bintang
Namun masih kelam dibaluti kesayuan awan
Mengiringi rentak rintik-rintik hujan
Seakan mengerti rintihan perasaan
Tanpa leka membuai rasa
Ku alun kalimah suci wahyu Ilahi
Meneliti dan memahami seruan dan larangan
Termaktub segala panduan jalan kehidupan
Ku bisikkan rayuan serta permohonan
Moga diperkenankan segala hajat dan harapan
Segala puji bagi Allah yang sentiasa berkenan
Melimpahkan rahmat-Nya dan menerima keampunan
Agar beroleh kebahagiaan dan keredhaan

Di celah-celah kesunyian yang masih kelam
Terhimpun kekuatan dengan nilai kerohanian
Ku bingkas bangun menunaikan solat di akhir malam
Jiwa tenang bertafakkur, bertadabbur, bermunajat
Sentuhan zikrullah menggamit kedamaian jiwa
Sungguh istimewa malam ciptaan-Mu Tuhan
Hebatnya malam yang syahdu kian ku rindu
Malam di mana hamba-hamba-Mu sujud kepada-Mu
Waktu turun-Mu ke langit dunia
Waktu penyaksian para malaikat
Waktu doa hamba-hamba-Mu dikabulkan
Segala permohonan diperkenankan

Ketika inilah manusia berkomunikasi dengan Al-Khaliq
Allah mendekati hamba-hamba-Nya yang berdoa
Melimpahkan kekuatan spiritual
Rahmat dan juga kasih sayang-Nya
Di penuhi dengan kemuliaan dan keberkatan
Menghidupkan hati, menguatkan jiwa

Ya Allah...
Ya Hayyu Ya Qaiyum
Yang Maha Memiliki Keagungan dan Kemuliaan
Doa dan Salam di subuh yang sunyi
Hadirku menemui-Mu dalam kesyahduan
Terimalah segala amal dan ibadahku
Terimalah taubatku Wahai Allah..
Dari hati yang suci bersih
Ampunilah aku, kasihanilah aku,
Berilah hidayah kepadaku, selamatkanlah aku
Berikanlah aku rezeki yang halal bagi-Mu
Ku mengharapkan ketakwaan, kesucian, kemuliaan..
Dan lindungilah aku dari kemurkaan-Mu

Ilahi Ya Rabbi..
Ya `Azim, Ya Malikul Mulk
Sinarilah diriku dengan cahaya
Hidupkan hatiku dengan nur makrifah-Mu
Lembutkan hatiku untuk terus beribadah
Sujud menemui-Mu di penghujung malam
Semaikanlah rinduku pada-Mu di hatiku
Mengabdi diri pada-Mu Allah Yang Esa
Menadah tangan mohon doa diperkenan
Memohon rahmat-Mu serta keampunan

Ya Allah..Rabbul Izzati..
Rahmatilah aku dengan Al-Quran
Jadikanlah Al-Quran itu ikutanku
Cahayaku dan petunjuk bagiku
Wahai Yang Menghidupkan Yang Mati
Wahai Kekasih yang Pemurah
Limpahilah rahmat-Mu dan berilah kesejahteraan
Kepada penghulu kami Nabi Muhammad SAW dan
Keluarga serta para sahabat baginda
Segala puji hanyalah untuk-Mu Ya Allah
Tiada Tuhan selain Allah
Tuhan `arsy yang Agung
Tuhan langit, Tuhan bumi
Tuhan Pentadbir Seluruh Alam

Amin..Amin..Amin.. Ya Rabbal `Alamin..