Pages

Friday, August 23, 2013

LUAHAN BICARA CINTAku


 


Katanya, dia kini ingin berubah. Ingin menjadi seperti dahulu. Sentiasa mengingati dan mendekati Allah, sentiasa takut akan azab Allah, ingin sentiasa taat kepada Perintah Yang Esa, dan ingin menjaga batas-batas pergaulan. Dia yakin dan percaya, Allah akan lebih menjaga dan memelihara dirinya.

Walaupun sebelum ini jiwanya sering dilanda kekecewaan dan kesedihan, tetapi dirinya masih kuat. Tatkala dia merasakan dirinya kuat dan cukup bahagia dengan hidayah Allah, Allah menguji dirinya. Allah menghadirkan dirinya dengan seorang lelaki yang sama-sama saling memerlukan perhatian, belaian kasih dan cinta sejati. Mereka saling dimewahkan dengan kata-kata pujian dan kasih mesra, dengan gurindam rindu dan madah-madah cinta, yang sebelum ini tidak pernah meneroka hati dan jiwanya. Dirinya merasakan sesuatu yang indah sedang menyelubungi jiwanya yang halus. Setiap detik, dia merasakan kuntuman kasih di taman hatinya mekar dan harum semerbak. Cahaya cinta itu juga turut menyinari jalur-jalur di setiap sudut jiwanya yang sentiasa dibelai manja.

Dia yakin dan percaya cinta itu dari Allah, tetapi dia lupa itu bukan caranya. Dia alpa. Setiap saat, hatinya dilimpahi rasa rindu akan kekasih hatinya. Rindu yang teramat sangat, cinta yang teramat cinta. Sehingga akhirnya dia kalah dalam memerangi kehendak jiwanya yang ketika itu semakin lemah. Bukan dia tidak sedar sedikit demi sedikit dia sudah melangkahi batas, bukan juga dia tidak sedar bahawa ketenangan hati yang pernah dianugerahkan oleh Allah semakin menjauh. Dia menutup kesedaran itu dengan cinta yang belum pasti akan bersatu. Lemahnya dia, hinanya dia di sisi Allah yang diselimuti dengan dosa. Dia sudah jauh dari hidayah Allah. Imannya semakin rapuh.

Dia memang takut dengan dosa dan azab Allah. Ya, dia sedar tetapi separa sedar. Rasa sayang pada kekasihnya mulai melebihi segalanya. Namun, syukur kepada yang Esa, Allah masih sayangkan dia. Saat dirinya berutus cinta, menyulam kasih, dia masih melakukan solat dan tetap beramal. Dia tidak lupa akan tanggungjawabnya. Namun mungkin solatnya masih tidak sempurna, lalu robohlah benteng imannya dipukul ombak nafsu cinta sesama manusia.

Allamdullilah. Allah menurunkan hidayah kepada dirinya lagi. Di saat sama-sama saling menyepikan diri seketika pada Ramadhan yang lalu, dengan amalan dan ibadah yang dilakukan pada bulan mulia yang penuh rahmat, dirinya dilanda rasa berdosa apabila mengingati segala kesalahan dan perbuatannya yang lalu. Mengingati kembali dosa-dosa yang dilakukan, mengalir air mata kekesalan. Bercucuran air mata keinsafan. Disaksikan kegelapan malam, dia bangun untuk bersolat taubat, tahajjud dan tasbih. Menangislah dia sepuas-puasnya disaksikan oleh para Malaikat. Dia memohon petunjuk dari Allah Yang Esa. Dia ingin kembali, kembali atas nama cinta. Demi cinta Allah yang tidak pernah berpaling dari hidupnya dan bertekad untuk berubah. Namun hatinya terhadap kekasih hati sedikit pun tidak berubah, tetap cinta, kasih dan sayang kepada cintanya. Dia berdoa, biarlah mereka saling mencintai kerana Allah, menjaga hukum dan batas pergaulan seperti di awal perkenalan. Masih belum terlambat untuk dia berubah demi mendapatkan cinta dan redha Allah.


Ya... "DIA" yang dimaksudkan di atas adalah "AKU". Jauh di sudut hati ini, aku ingin berubah demi cintaku kepada Allah SWT. Cinta al-Khaliq pentadbir seluruh alam. Memang semua perkara berlaku dengan izin-Nya, tetapi bukan semua mendapat redha-Nya. Aku sedar yang aku telah terlalu jauh dan leka berada dalam pelayaran cinta. Aku terlalu mengejar cinta manusia, sehingga terlupa bahawa cinta Allah itu lebih utama. Aku harus kuat. Azamku juga harus mantap. Hidup ini sebenarnya terlalu singkat untuk kita merasa sedih dan kecewa. Meratapi apa yang telah hilang dan akan hilang. Lebih baik kita bersyukur dengan apa yang masih ada walaupun itu bukan kehendak kita, daripada mengharap sesuatu yang masih belum pasti. Andai ianya memang menjadi milik kita, pasti Allah akan tunjukkan jalan dan cara-Nya. SABAR itulah yang harus digenggam. Sabar atas sesuatu yang tidak kita ingini dan sabar menahan diri dari sesuatu yang kita inginkan. Kuatlah jiwa kerana Allah. Jangan jatuh kerana cinta manusia. Allah segala-galanya bagi kita. Dia sebaik-baik Pelindung dan Dia sebaik-baik Pemelihara. Wahai Tuhanku, aku tahu ini adalah jalan yang terbaik buat aku dan dia, maka permudahkanlah urusan kami dalam usaha untuk mendapat redha-Mu... dan berilah petunjuk-Mu agar kami dapat keluar dari situasi ini yang mencengkam jiwa. Duhai separuh hatiku di sana, jika kau merasa kecewa dan berduka, pandanglah ke sungai, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalang. Jika kau merasa sepi dalam kerinduan, pandanglah ke langit, kau akan sedar bahawa Allah sentiasa bersamamu. Telah tiba masanya untuk aku melangkah pergi. Walaupun pahit, akan ku telan jua dan aku tetap melangkah, sama seperti mu yang merindui Syurga-Nya.


Banyak benda di dalam dunia ini harus kita lepaskan bila tiba masanya, bukan sebab mengaku kalah atau berputus asa, tetapi mengejar sesuatu yang tidak pasti itu sungguh menyakitkan. Walau digenggam kuat sekalipun, andai ia bukan milik kita, akan terlepas jua, kerana memang bukan untuk kita. Walau ditolak jauh ke tepi, ia akan tetap bersama kita kerana ia memang diciptakan untuk kita. Yakinlah bahawa takdir Allah itu lebih baik dari apa yang kita inginkan dan impikan. Apabila kita redha dengan sesuatu yang mengecewakan hati kita, maka percayalah, Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak kita jangka. Kadangkala takdir kita hanya setakat dapat bertemu dan kenal, bukan bertemunya jodoh.. Jadi, redha dan pasrahlah.. Kita sebenarnya tidak sedar, hati menjadi lemah dan sakit sepanjang kita bercinta tanpa ikatan yang halal. Maka, kembalilah bertaubat dan meraih cinta-Nya. Jangan bimbang untuk berubah.. kita mungkin kehilangan sesuatu yang baik ketika ini tetapi kemungkinan juga kita akan mendapat yang lebih baik lagi selepas ini. Tiada setitis pun kebencian yang lahir di hati ini terhadapmu.. malah apa yang terbit dari awal duhulu, tetap segar tiada apa-apa yang berubah. Ku lakukan semua ini kerana aku menyayangi dirimu, agar kita terhindar dari berterusan berada di kolam dosa.  Kita berubah ye sayang... dirimu tetap hadir dalam setiap doaku, kerana kaulah satu-satunya insan yang sangat aku cinta, aku kasih dan aku rindu. Semoga dirimu sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT  bersama rahmat dan kasih sayang-Nya. Aamiin Ya Rabbal `Alamin.
 


Luahan Bicara Cintaku
23.08.2013

No comments:

Post a Comment