Pages

Monday, September 9, 2013

KELUAR DARI ZON SELESA DOSA

Assalamu'alaikum.


Anda apa khabar? Semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat dan maghfirah Allah SWT, dan berharap agar kita sama-sama berusaha untuk hidup di dalam ketenangan dengan batas-batas kehidupan yang disyariatkan olehNya.


Kali ini, saya suka mengingatkan diri saya dan pembaca budiman berkenaan KETENANGAN di dalam kehidupan kita. Ya, itulah satu kalimah yang kita semua cari. Di dalam ketenangan ada kebahagiaan, di dalam ketenangan ada kesyukuran, di dalam ketenangan ada redha Allah SWT. Sekaya mana pun seseorang itu, secantik dan setampan mana sekalipun, setinggi mana darjat dan pangkat kita, kalau hati tidak tenang, kalau jiwa tidak senang, segalanya menjadi sia-sia. Firman Allah, bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah ar-Ra'du: 28). Persoalannya, di mana dan bagaimana kita dapat berjumpa dengan KETENANGAN ini? Hati menjadi kosong, sentiasa gelisah dan tidak tenteram, melainkan dengan merapatkan diri kita kepada Allah SWT dan sentiasa mengingatiNya. Ya, KETENANGAN itu ada pada Illahi.

Dengan melakukan amal-amal kebaikan yang diperintahkanNya dan meninggalkan segala laranganNya, sentiasa ikhlas hanya kerana Dia. Tolehlah seketika dan pandanglah semula apa yang telah kita lakukan menyebabkan hati kita tidak tenteram dan jiwa sering gelisah. Walaupun solat fardu tidak tinggal, sentiasa membaca al-Quran, amalan sedekah tidak dilupa, tetapi masih juga melakukan maksiat kepada-Nya, maka bagaimana kita mampu meraih ketenangan jiwa. Allahurabbi... Aku memohon keampunan dariMu wahai ALLAH, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Walau sekecil zarah dosa yang kita lakukan, ianya ibarat setitik hitam di dalam hati. 

Dosa itulah yang memberi rasa tidak senang di dalam diri kita. Dosa tetap dosa tetapi salah tanggapan terhadap dosa menyebabkan manusia memandang ringan akan dosa. Apabila bertaubat dan membuat kebaikan, dosa akan terhapus. Buat dosa lagi, bintik hitam itu akan muncul semula membawa kelam. Maka solusi ketenangan hati yang utama adalah, dengan mendekati Ilahi dan menjauhi segala laranganNya. Berikhtiarlah menghindari ransangan dosa untuk keluar dari zon selesa dosa. Mantapkan iman, membesarkan syariat yang datang daripada Allah SWT dan penuhi ruang kosong dengan aktiviti-aktiviti berpahala.

Turun naik atau pasang surut hati pada jalan menuju Ilahi itu adalah satu kebenaran. Apabila tergelincir atau hampir hilang, bangkitlah berusaha mencari jalan menuju kepadaNya, dan genggamlah agar ia tidak terlepas lagi. Begitulah gundah di jalan mujahadah. Allah tidak memberi ketenangan dengan kesenangan.. namun dalam kesusahan itu ada ketenangan.  Apabila seseorang itu telah berada dalam zon selesa dosa, dia memerlukan kekuatan mujahadah atau menahan diri untuk keluar dari zon selesa itu. Dorongan melakukan dosa adalah juga ujian dari Allah SWT. Allah mahu menguji hambaNya, sejauh mana si hamba mengutamakan Allah daripada keinginan melakukan dosa. Berkat mujahadah yang berterusan, taubat yang bersungguh-sungguh dan niat yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah, Allah akan membantu dirinya. Uruslah hati, didiklah nafsu dan tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya.


Seseorang yang melihat Tuhan dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya berada hampir dengan dirinya, pasti akan berasa tenteram dan aman. Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan nur kerohanian yang jernih, pasti tenang hidupnya dan mendapat kekentalan serta keharmonian emosi. Tuhan berfirman: “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” (Surah Al Fath: Ayat 4). Sakinah ialah ketenangan yang kekal. Alat untuk membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati itu adalah dengan amalan zikrullah, solat, tafakkur, amalan-amalan doa dan wuduk. Semoga hati kita tidak selamanya buta daripada melihat dan merasai kebesaran Allah SWT.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud : "Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

Sama-samalah kita berusaha mendidik hati untuk menjauhi larangan-laranganNya. Menjadi hamba yang sebenar-benarNya. Redha atas segala pemberian walaupun itu bukan kehendak kita, kerana setiap sesuatu itu ada hikmah dan kebaikan dariNya untuk diri kita. Kadang-kadang dalam kita mencari kebaikan, kebahagiaan dan ketenangan, kita bertemu juga dengan kejahatan. Ingatlah wahai diri.. Inilah peluang kita untuk membalas kejahatan dengan kebaikan agar kita menjadi hambaNya yang lebih baik, In syaa Allah.

Kebahagiaan itu apabila memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan selaras dengan petunjuk Allah dalam al-Quran. Dan kemuncak kebahagiaan adalah apabila hati seseorang mampu mendorongnya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan serta larangan yang ditentukan oleh Islam, dengan mudah tanpa mujahadah dan bersusah payah serta perlu difikir-fikir lagi.

Sama-samalah kita muhasabah.
Semoga ada pengisian dalam perkongsian ini dan bermanfaat kepada semua. In syaa Allah..

Wassalam.



CATITAN: Perkongsian ilmu di atas ada yang saya ambil dan gabungkan dari tulisan Ustaz Pahrol, Hilal Asyraf Langit Ilahi dan Majalah Solusi. Terima kasih kepada mereka semua.




No comments:

Post a Comment