Pages

Saturday, September 21, 2013

ZAKAT MENSUCIKAN DIRI, MELUASKAN REZEKI

Assalamu`alaikum

Semoga anda yang sedang membaca artikel ini, berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dilimpahi rahmat Allah SWT. Aamiin. Saya ingin berkongsi dengan anda bahan bacaan yang saya baca, yang boleh dijadikan sebagai panduan dan pengajaran di dalam kehidupan, in syaa Allah.



Ketika menceritakan pengalamannya membangunkan perniagaan kosmetik, Dato` Azlina Haji Che Abdullah memberitahu bahawa zakat merupakan antara faktor yang membantunya bergerak maju dalam perniagaan.

Katanya, "Saya berasal daripada keluarga miskin dan ibu saya adalah antara penerima zakat. Saya merasa sedih dan terfikir, kalaulah saya berpeluang untuk membayar zakat. Situasi yang dialami keluarga saya dulu, banyak menimbulkan kesedaran dan keinginan untuk saya membayar zakat. Sejak itu, saya berazam untuk membayar zakat dan mengubah nasib keluarga saya," jelas Dato` Azlina sedikit emosional.



Ceritanya lagi, beliau mula membayar zakat pada tahun 2004 selepas perniagaannya mula jatuh. "Ketika itu, barulah saya terfikir mengenai zakat yang tidak saya tunaikan. Saya salahkan diri saya sendiri kerana jahil tentang zakat. Atas kesedaran tersebut, saya mula membayar zakat dan alhamdulillah, setahun kemudian perniagaan saya mula menunjukkan kemajuan," ujar wanita gigih ini.

Selain itu, hasil daripada pengalamannya bergiat dalam dunia usahawan, beliau memberi tips dan petua kejayaan dalam perniagaannya.

1.    Solat dan Doa

Solat merupakan tiang agama. Apa jua pekerjaan yang dilakukan, kita mestilah mengutamakan solat. "Jangan jumpa tok bomoh untuk mendapatkan ayat-ayat pelaris. Semua itu adalah syirik. Kita cuma perlu menjaga solat dan sentiasa berdoa agar Allah SWT melimpahkan rezeki kita," nasihatnya.

2.    Sentiasa Dalam Restu

Restu ibu bagi si anak dan restu suami bagi si isteri. Menurut beliau, setiap pekerjaan yang kita lakukan mestilah mendapat restu daripada kedua-dua pihak supaya hidup dan pekerjaan yang dilakukan akan diberkati.

3.     Sentiasa Bersedekah

Banyak atau sedikit bukan ukurannya, tetapi tahap keikhlasan yang ditagih. Menurut Dato` Azlina, Allah menyelamatkan kita daripada segala musibah jika kita bersedekah. Beliau yang juga mengamalkan sedekah dalam kehidupannya turut berkongsi hadis tentang fadhilat bersedekah: "Tiada berkurang harta yang disedekahkan, kecuali bertambah." [Riwayat at-Termizi]

4.     Berusaha Bersungguh Sungguh

Dato` Azlina turut menasihatkan supaya membuang segala sifat negatif dan menggantikannya dengan sifat positif. "Kejayaan saya hari ini ialah atas usaha gigih saya di samping mengamalkan perintah Allah SWT," tegas beliau.

5.    Tabah Dan Istiqamah

Ketabahan hati adalah penawar kepada jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan, lebih-lebih lagi pada awal pembabitannya. "Ketika miskin dulu, saya selalu diejek dan dihina. Sekarang apabila ada sedikit harta, orang masih lagi mengejek dan melontarkan tohmahan," katanya sedikit hiba. Ketika dirundum perasaan pilu akibat diejek, usahawan ini menjadikan firman Allah ini sebagai pengubat hatinya: "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." [al-Insyirah : 5-6]

6.    Tidak Putus Asa

Bermula dengan hanya menjual kuih pada tahun 1987, wanita cekal ini melakukan banyak pekerjaan sebelum memulakan perniagaannya sekitar tahun 1994. Dalam tempoh itu, banyak masalah dan cabaran yang terpaksa beliau harungi. Atas sikap tidak mengenal putus asa, beliau kini dikenali sebagai usahawan wanita berjaya sehingga dinobatkan sebagai "Wanita Ikon 2008" anjuran sebuah majalah. Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." [Yusof : 67]

Perkongsian ini adalah dari Majalah Anis : Isu 161. Semoga bermanfaat dan sama-sama kita mengambil pengajaran dari kisah beliau.


Firman Allah SWT; "Dirikanlah solat dan tunaikan zakat dan rukuklah beserta orang yang rukuk." [al-Baqarah : 43]

Firman Allah SWT lagi; "Dan dirikanlah solat, tunaikan zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya." [al-Ahzab : 33]

Wassalam.


Friday, September 13, 2013

CAHAYA DAN KEBERKATAN AL-QURAN


Assalamu`alaikum.

Semoga sihat sejahtera dan selamat beristirehat. Agak lewat juga malam ni, nak post artikel dahulu sebelum offline.

"Apabila saya membaca buku beliau, air mata saya mengalir. Buku tulisannya saya khatam hanya sekali duduk sahaja. Hari ini, setelah buku beliau dibaca oleh puluhan ribu orang, ramai yang mengakui bahawa buku ini memang cukup berkesan dalam membangkitkan motivasi diri, khususnya agar bergantung harap hanya kepada Allah. Apa pun yang kita mahu dan impikan, semuanya boleh diminta daripada Allah. Beliau yang saya maksudkan adalah Prof Dr Muhd Kamil dengan bukunya berjudul Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman. 


Hari ini beliau sudah berhijrah ke Madinah, berkhidmat di sebuah Universiti di sana. Apa yang menarik tentang beliau adalah asalnya beliau seorang yang tidak tahu membaca al-Quran. Sungguh sukar untuk dipercayai seorang yang bergelar Profesor tidak tahu membaca al-Quran. Namun itulah hakikatnya sebagaimana yang dimaklumkan sendiri oleh beliau dalam buku dan ceramahnya.

Dalam bukunya beliau menulis:

"Saya bermula dengan alif, ba, ta. Saya sebut A-BA-BA, BA-SA-BA dengan menggunakan kaedah Qiraati. Ketika saya baru mempelajari Qiraati 2, mak dan bapa mertua datang ke rumah. Di dalam bilik, hati bersimpang siur samada mahu keluar belajar atau berdiam diri. Lapan belas tahun berkahwin dengan anak mereka, mereka tak tahu yang menantu ini buta al-Quran. Barangkali barulah mereka tahu yang selama ini saya hanya 'olok-olok' membaca ketika menghadiri majlis tahlil atau bacaan doa selamat di kampung."

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana ego Prof. Kamil ketika itu. Namun keikhlasan beliau mahu belajar semata-mata kerana Allah telah memberi kekuatan baginya untuk terus belajar. Walaupun beliau sedar rahsia yang tersimpan selama ini akan bocor, dan ia bocor di hadapan ibu dan bapa mertua sendiri, beliau memilih untuk berterus terang.

Tulis Prof. Kamil lagi:

Memang benar. Tidak tahu membaca al-Quran memang memalukan. Bertahun-tahun saya berasa malu dengan diri sendiri. Saya keluar dan mula belajar. Abah dan emak melihat apa yang sedang saya pelajari. Apabila selesai saya ceritakan pada abah, 'Abah, saya malu nak memberitahu, sebenarnya saya tidak pandai membaca al-Quran. Jadi saya belajar dari alif, ba, ta.'

"Abah membalas kata-kata saya dengan memberi semangat. Bagus Kamil. Payah orang mahu mengaku kelemahan sendiri. Cara Kamil belajar ni bagus. Abah dulu pun tidak macam ini. Abah tabik kesungguhan Kamil belajar ketika umur begini."


Dengan izin Allah, orang yang asalnya tidak tahu membaca al-Quran ini kini dijemput berceramah ke puluhan masjid di seluruh negara. Beliau berhasil menyuntik motivasi bahawa apa sahaja boleh diminta daripada Allah. Apa pun impian itu, modalnya serupa, iaitu berharaplah hanya pada Allah. Berdoalah, bersolatlah dan bertahajjudlah.

 

Bagaimana agaknya kehidupan Prof. Kamil di Madinah pada hari ini? Ternyata kehidupan beliau di sana kelihatannya sangat dicemburui oleh kita semua. Beliau bertemu kawan-kawan baru dan lama hampir setiap hari. Beliau menjemput mereka ke rumah dan menjamu dengan makanan yang sedap-sedap.

Agenda Prof. Kamil berkongsi ilmu yang bermanfaat Allah izinkan hingga ke Masjid Nabawi di Madinah. Allahuakbar, betapa berkatnya. Malah dalam usia 40-an, beliau diberi Allah keinginan untuk menghafaz al-Quran dan belajar bahasa Arab. Terbuktilah apa yang beliau impikan terlaksana jua dengan mudahnya.

Prof. Kamil telah membuktikan betapa kehidupan di dunia ini boleh menjadi 'syurga' jika kita benar-benar mahu berusaha menjadi orang bertakwa. Beliau sudah membuktikannya. Apakah impian itu untuk kesenangan kehidupan di dunia ataupun kesenangan kehidupan di akhirat?

Pernah juga saya terfikir mengapa beliau berhijrah ke Madinah. Mengapa beliau sanggup bersara awal dan meninggalkan segala yang sedang dimiliki di Malaysia? Dan jawapannya kepada soalan itu rupa-rupanya terjawab melalui satu tulisan dalam blog beliau.

Prof. Kamil menulis:

"Akhirnya saya akan bertanya, kenapa mahu menetap di Madinah? Di dalam al-Quran ada disebut dengan jelas tentang nilai pendapatan yang sebenar. Ia sangat menarik apabila Allah sendiri menyebutnya melalui ayat 60 hingga 61, surah as-Saffat yang bermaksud: "Sesungguhnya, (nikmat-nikmat kesenangan syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. Untuk memperolehi (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia)."

 


Begitulah apa yang di sampaikan oleh Penulis Fathuri Salehuddin di dalam bukunya "Mudahnya Menjemput Rezeki" di halaman 131, Bab 29 dengan tajuknya "Berkat Belajar Al-Quran". Saya tertarik dengan tulisan tersebut dan kongsikannya di sini untuk manfaat bersama.

Nota: Saya mengenali Prof. Dr. Mohd Kamil Ibrahim melalui buku-buku tulisan beliau, "Travelog Haji" dan Travelog Dakwah". Buku-buku tulisan Prof. Kamil sangat memberi kesan di hati, kerana setiap yang dilaluinya dikongsi dari hati seikhlasnya. Kini sedang menunggu buku keluaran terbaru beliau "Travelog Haji Mengusik Hati", di samping mengikuti tulisan-tulisannya di Universiti MKI.


Wassalam.



Wednesday, September 11, 2013

ALAS SUJUD KU




Assalamu`alaikum...

Semoga anda semua ceria selalu dan sihat sejahtera sentiasa hendaknya. Alhamdulillah, mari kita sama-sama bersyukur atas segala nikmat yang Allah berikan dengan meningkatkan keimanan kita kepadaNya, serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W.

Hari ini saya ingin bercerita tentang SEJADAH. Sejadah, yang juga disebut pelapik sujud atau mini sejadah ataupun "prayer mat" adalah alas tempat solat / sujud. Suatu ketika dahulu, pernah juga saya mendengar atok, nenek dan wan menyebutnya "tikar sembahyang". Mungkin lain tempat, lainlah nama diberi. Kalau di masjid-masjid dan di surau-surau sekarang ini, telah di pasangkan hamparan permaidani yang cantik dengan pelbagai corak dan warna yang lembut dan sesuai. Sedap dan sejuk saja mata memandang. Alhamdulillah, sangat selesa tempat solat kita.




Bagaimana pula apabila kita berhadapan dengan tempat atau suasana bersolat tanpa sejadah? Sebagai contoh solat di atas lantai yang tidak dihampar permaidani bersih, bilik di dewan yang tidak beralas atau di mana-mana saja yang menyebabkan kita tidak punya pilihan kecuali solat tanpa beralaskan dengan sesuatu. Adakah sejadah atau alas lapik untuk bersolat di atasnya itu satu kewajipan? Jawapannya, tidak. Solat itu wajib dilakukan walau tanpa alas. Di atas rumput mahupun di padang pasir. Sebenarnya solat di atas sesuatu alas atau lapik, hanya merupakan satu anjuran sunnah dan ia tidak lebih dari itu. Ia sebagai anjuran, kerana al-Qur'an dan as-Sunnah tidak pernah mewajibkan umat untuk bersolat di atas sesuatu. Umat Islam boleh bersolat di mana sahaja di bumi ini seluruhnya.
 

Dikatakan bahawa solat berlapik itu adalah suatu sunnah yang dianjurkan kerana Nabi s.a.w. pernah bersolat di atas  sehelai tikar sebagaimana yang diterangkan oleh isteri beliau - Maimunah r.a.: Beliau (Nabi) mengerjakan solat di atas sehelai tikar yang kecil yang dianyam dari pelepah-pelepah kurma (al-Khumrah). Malah di dalam satu riwayat lain dari A'isyah r.a., Nabi s.a.w. pernah meminta agar dibentangkan tikar untuk dia bersolat di atasnya. Jikalau tiada tikar yang tersedia khas, maka adakalanya beliau bersolat sahaja beralaskan pelepah kurma sepertimana diterangkan oleh Hudzaifah al-Yaman r.a.: Satu malam di bulan Ramadhan (aku melihat) Rasulullah s.a.w. solat dalam sebuah bilik yang berlantaikan pelepah kurma. Ya, begitulah.. dari zaman Rasulullah s.a.w. telah ada tikar sembahyang ataupun beralas sesuatu ketika menunaikan solat. Hanya berbeza bahan sahaja di zaman kita sekarang ini. 

 


Masih lagi bercerita tentang SEJADAH. Lebih kurang tiga tahun yang lalu, apabila saya ke masjid berhampiran rumah untuk solat berjemaah, saya melihat seorang "mak cik" di sebelah saya telah meletakkan tuala kecil (face towel) berwarna putih di hadapan tempat sujudnya. Ada juga beberapa jemaah yang meletak di atas permaidani itu sejadah kecil berbentuk empat segi, juga di tempat sujudnya. Setelah beberapa kali melihat situasi yang sama, timbul keinginan saya untuk membuat alas sujud berwarna putih dan menjualnya kepada sesiapa yang memerlukan. Terutama untuk mereka yang alah (allergy) atau sensitif dengan habuk dan bulu carpet.




Alhamdulillah, semakin hari makin ramai yang membeli. Ianya mudah untuk di bawa ke mana-mana dan di simpan bersama telekong di dalam beg telekong. Ada juga yang membeli untuk dihadiahkan kepada ibu mereka, kawan-kawan ataupun kepada saudara mara yang akan ke tanah suci menunaikan umrah dan haji. Saya juga ada menerima tempahan dari persatuan dan individu dalam kuantiti yang banyak. Hanya perlu bersabar... kerana saya memerlukan masa lebih sedikit jika tempahan banyak. Sekiranya ada yang berminat untuk membeli atau jika ada sebarang pertanyaan mengenai alas sujud tersebut, bolehlah kirimkan ke Email : cendanapuri85@yahoo.com







Berukuran : 15 x 16 inci
Jenis kain : Cotton (tebal)
Renda : Cotton
Code DL - Double Lace : RM30.00 (termasuk bayaran pos)
Code SL - Single Lace : RM25.00 (termasuk bayaran pos)

Firman Allah SWT, bermaksud : "Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman." ( An Nisaa’:103)
 
Wassalam.
 

Monday, September 9, 2013

TAKDIR CINTA UKIR BAHAGIA



Ku kenang hadir mu di tasik rindu
Mengetuk pintu hati menyapa langkahku
Hembusan dan titisan kalimah mesramu
Umpama alunan nyanyian syahdu
Terasa rindu, ingin ku dengar selalu
Hati ku tenang, bahagia bersulam rindu

Ketika bersama di ruang waktu
Indahnya ungkapanmu tersusun padu
Merawat bekas-bekas luka yang lalu
Segarnya siraman mawar kasihmu
Menyubur jiwaku yang sendu

Semakin jauh perjalanan di ufuk rindu
Semakin jauh pelayaran di lautan biru
Ada irama dalam jiwa kau dan aku
Sama irama.. irama kasih, irama rindu
Oh!! Mungkinkah...

Wahai Tuhanku yang Satu
Yang Maha Kuasa
Yang Maha Bijaksana
Yang mengatur segalanya...
Masih ada cinta murni untukku
Sucinya tautan kasih rindu
Ku bersyukur atas izinMu

Ya Rahman, Ya Rahim
Adakah namanya telah tertulis
Di Luh Mahfuz untuk diriku?
Dia kah yang akan menemaniku?
Menuju jalan ke SyurgaMu?
Adakah dia tercipta untukku?
Jawapannya hanya padaMu
Ku mengharap bantuanMu
Mengiringi dan merestui doaku

Duhai kekasih hatiku...
Ku hargai hadirmu dalam hidupku
Tautan kasih kita indah dan padu
Akan terus ku seru nama mu
Sekuat dan semampu harapanku
Harapan kita yang disebut selalu
Hingga ke penghujung waktu
Bertawakallah kita wahai kasihku
Kepada Allah memohon restu
Agar cinta kita akhirnya bersatu

Nukilan : Sofiahanie (Multiply)
27hb Januari 2010

KELUAR DARI ZON SELESA DOSA

Assalamu'alaikum.


Anda apa khabar? Semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat dan maghfirah Allah SWT, dan berharap agar kita sama-sama berusaha untuk hidup di dalam ketenangan dengan batas-batas kehidupan yang disyariatkan olehNya.


Kali ini, saya suka mengingatkan diri saya dan pembaca budiman berkenaan KETENANGAN di dalam kehidupan kita. Ya, itulah satu kalimah yang kita semua cari. Di dalam ketenangan ada kebahagiaan, di dalam ketenangan ada kesyukuran, di dalam ketenangan ada redha Allah SWT. Sekaya mana pun seseorang itu, secantik dan setampan mana sekalipun, setinggi mana darjat dan pangkat kita, kalau hati tidak tenang, kalau jiwa tidak senang, segalanya menjadi sia-sia. Firman Allah, bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah ar-Ra'du: 28). Persoalannya, di mana dan bagaimana kita dapat berjumpa dengan KETENANGAN ini? Hati menjadi kosong, sentiasa gelisah dan tidak tenteram, melainkan dengan merapatkan diri kita kepada Allah SWT dan sentiasa mengingatiNya. Ya, KETENANGAN itu ada pada Illahi.

Dengan melakukan amal-amal kebaikan yang diperintahkanNya dan meninggalkan segala laranganNya, sentiasa ikhlas hanya kerana Dia. Tolehlah seketika dan pandanglah semula apa yang telah kita lakukan menyebabkan hati kita tidak tenteram dan jiwa sering gelisah. Walaupun solat fardu tidak tinggal, sentiasa membaca al-Quran, amalan sedekah tidak dilupa, tetapi masih juga melakukan maksiat kepada-Nya, maka bagaimana kita mampu meraih ketenangan jiwa. Allahurabbi... Aku memohon keampunan dariMu wahai ALLAH, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Walau sekecil zarah dosa yang kita lakukan, ianya ibarat setitik hitam di dalam hati. 

Dosa itulah yang memberi rasa tidak senang di dalam diri kita. Dosa tetap dosa tetapi salah tanggapan terhadap dosa menyebabkan manusia memandang ringan akan dosa. Apabila bertaubat dan membuat kebaikan, dosa akan terhapus. Buat dosa lagi, bintik hitam itu akan muncul semula membawa kelam. Maka solusi ketenangan hati yang utama adalah, dengan mendekati Ilahi dan menjauhi segala laranganNya. Berikhtiarlah menghindari ransangan dosa untuk keluar dari zon selesa dosa. Mantapkan iman, membesarkan syariat yang datang daripada Allah SWT dan penuhi ruang kosong dengan aktiviti-aktiviti berpahala.

Turun naik atau pasang surut hati pada jalan menuju Ilahi itu adalah satu kebenaran. Apabila tergelincir atau hampir hilang, bangkitlah berusaha mencari jalan menuju kepadaNya, dan genggamlah agar ia tidak terlepas lagi. Begitulah gundah di jalan mujahadah. Allah tidak memberi ketenangan dengan kesenangan.. namun dalam kesusahan itu ada ketenangan.  Apabila seseorang itu telah berada dalam zon selesa dosa, dia memerlukan kekuatan mujahadah atau menahan diri untuk keluar dari zon selesa itu. Dorongan melakukan dosa adalah juga ujian dari Allah SWT. Allah mahu menguji hambaNya, sejauh mana si hamba mengutamakan Allah daripada keinginan melakukan dosa. Berkat mujahadah yang berterusan, taubat yang bersungguh-sungguh dan niat yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah, Allah akan membantu dirinya. Uruslah hati, didiklah nafsu dan tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya.


Seseorang yang melihat Tuhan dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya berada hampir dengan dirinya, pasti akan berasa tenteram dan aman. Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan nur kerohanian yang jernih, pasti tenang hidupnya dan mendapat kekentalan serta keharmonian emosi. Tuhan berfirman: “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” (Surah Al Fath: Ayat 4). Sakinah ialah ketenangan yang kekal. Alat untuk membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati itu adalah dengan amalan zikrullah, solat, tafakkur, amalan-amalan doa dan wuduk. Semoga hati kita tidak selamanya buta daripada melihat dan merasai kebesaran Allah SWT.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud : "Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

Sama-samalah kita berusaha mendidik hati untuk menjauhi larangan-laranganNya. Menjadi hamba yang sebenar-benarNya. Redha atas segala pemberian walaupun itu bukan kehendak kita, kerana setiap sesuatu itu ada hikmah dan kebaikan dariNya untuk diri kita. Kadang-kadang dalam kita mencari kebaikan, kebahagiaan dan ketenangan, kita bertemu juga dengan kejahatan. Ingatlah wahai diri.. Inilah peluang kita untuk membalas kejahatan dengan kebaikan agar kita menjadi hambaNya yang lebih baik, In syaa Allah.

Kebahagiaan itu apabila memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan selaras dengan petunjuk Allah dalam al-Quran. Dan kemuncak kebahagiaan adalah apabila hati seseorang mampu mendorongnya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan serta larangan yang ditentukan oleh Islam, dengan mudah tanpa mujahadah dan bersusah payah serta perlu difikir-fikir lagi.

Sama-samalah kita muhasabah.
Semoga ada pengisian dalam perkongsian ini dan bermanfaat kepada semua. In syaa Allah..

Wassalam.



CATITAN: Perkongsian ilmu di atas ada yang saya ambil dan gabungkan dari tulisan Ustaz Pahrol, Hilal Asyraf Langit Ilahi dan Majalah Solusi. Terima kasih kepada mereka semua.




Friday, September 6, 2013

BERNIAGA WALAUPUN TELAH KAYA



Ya, tidak salah menjadi orang kaya. Malah, dalam Islam kita dilarang hidup dengan meminta-minta. Walau bagaimanapun, kekayaan yang dimiliki samada melalui jalan terpijak atau dengan usaha keras, dibayar oleh majikan atau dengan hasil urusan perniagaan, hendaklah dikendalikan mengikut syariat Islam.

Umat Islam mesti kaya. Kaya harta, kaya hati dan budi. Harta adalah nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Umat Islam juga perlu bijak menguruskan kehidupan di dunia supaya seimbang dengan kehidupan di akhirat. Dengan memiliki kekayaan yang diberkati, dapat memberikan ketenangan jiwa dan minda yang hakiki kepada pemiliknya. Apa yang pasti, harta yang diberkati akan sentiasa bertambah dan tidak terputus-putus, bagaikan Sungai Nil yang mengalir di sepanjang bumi Mesir. Semestinya, kebahagiaan di akhirat juga akan diperolehi.

Apa yang kita amat bimbang jika umat Islam termasuk dalam golongan sebagaimana yang disebut dalam surah Al-Kahfi : ayat 103-104 yang bermaksud; "Katakanlah wahai Muhammad; Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) Orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, dan mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan."

Harta juga merupakan tipu daya yang paling mudah untuk menggelincirkan iman seseorang. Oleh kerana itulah kita perlu berwaspada. Umat Islam selalu diingatkan agar mencari harta yang halal melalui jalan atau sumber yang halal. Harta yang pada asalnya halal seperti mendapat gaji setiap bulan dari majikan tetapi diperolehi melalui jalan haram dengan mencuri masa bekerja, tetap haram jadinya. Harta yang diperolehi akan menjadi darah daging, akan diberi makan kepada ahli keluarga dibawah tanggunggan. Jika sumbernya haram, susah hendak menjawab soalan-Nya di sana nanti.

Kita wajib bersangka baik kepada ALLAH s.w.t. Walau bagaimanapun, kita tidaklah boleh bersangka baik bahawa ALLAH s.w.t. sentiasa meredhai setiap perbuatan kita dengan cara melimpahkan kejayaan dan kekayaan sebagai tanda ALLAH s.w.t. menyayangi kita, sedangkan kita tidak melakukan apa yang disuruh dan tidak pula meninggalkan apa yang dilarang.

Sebenarnya, bagi orang yang ditimpa istidraj, ALLAH s.w.t. mahu mereka leka oleh kekayaan dan hartanya yang banyak. Semakin jauh daripada Tuhan, semakin kaya. Semakan malas melakukan solat, semakin berjaya. Waspadalah dan renungkan ayat berikut yang bermaksud; "Kemudian, apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu  segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)." [surah Al-An`Am : ayat 44].

ALLAH s.w.t. berkuasa melimpahkan harta kepada seseorang itu semahu-mahu-Nya dan DIA jualah yang berhak menariknya serta merta. Bayangkan sahaja, kemewahan ditarik tanpa notis. Kesenangan direnggut tanpa amaran awal. Sama seperti kes Qarun yang ditelan bumi. Sama seperti Tsa`labah yang jatuh miskin ketika sedang asyik menikmati kekayaannya. Ketika itu, hanya iman dan taubat sahaja yang boleh menyelamatkan seseorang.

 


Pada zaman Rasulullah s.a.w., Abdul Rahman bin Auf , adalah antara sahabat baginda yang kaya dan mahir dalam ilmu perniagaan. Beliau seorang hamba yang berdagang demi akhiratnya. Suka memberi dan berkongsi kemewahan. Kekayaannya langsung tidak berkurangan malah Allah melipatgandakan lagi harta kekayaannya. Kata beliau, "Aku merasa cukup dengan untung yang sedikit tetapi diberkati Allah."

Semoga perkongsian ilmu ini memberi manfaat kepada semua, in sya Allah.

Wassalam.

Thursday, September 5, 2013

ANUGERAH DAN RAHMAT ALAM

Assalamu`alaikum w.m.t.

 

Salam Jumaat Mubarakah semua. Semoga kita sentiasa berada di dalam perlindungan ALLAH dan diberi peluang mengambil kesempatan untuk mengimarahkan penghulu segala hari, dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi junjungan kita, berzikir, beristighfar dan membaca surah al-Kahfi, walaupun kita sibuk dengan tugas-tugas di pejabat ataupun urusan harian yang lain.

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)" [Surah Al Qaaf ayat 18]
 
 
Pagi tadi di tempat saya, cuaca masih kelihatan mendung, dingin dan syahdu. Baru kini mentari mulai menyinari alam semesta ciptaan Tuhan. Alhamdulillah, sejak beberapa hari ini , bumi di beberapa tempat, daerah dan kawasan telah dibasahi hujan yang membawa bersama rahmat-Nya. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Telah diturunkan kepada kita hujan, berkat dari anugerah Ilahi. Ya Allah, Engkau turunkan kepada kami hujan yang menyegarkan, memberi manfaat kepada kami dan haiwan ternakan, menyuburkan hasil tanaman dan merata manfaatnya. Taburkanlah kepada kami rahmat-Mu dengan hujan ini yang akan menjadi bekal kepada kami untuk beberapa waktu. Aamiin Ya Rabb...
Firman Allah yang bermaksud: "Tidaklah kamu melihat bahwasannya Allah menurunkan hujan dari langit lalu kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka ragam jenisnya. Dan diantara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat. Dan demikian (pula) diantara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Fathir, 35:27-28)

Dalam keadaan kekeringan setelah sekian lama hujan tidak turun, antara doa yang dibaca oleh Rasulullah meminta hujan ialah, dari Ibnu Umar r.a.; Rasulullah s.a.w. mengucapkan: "Ya Allah, turunkanlah hujan kepada hamba-hamba-Mu dan binatang-binatang ternak-Mu dan limpahilah rahmat-Mu serta hidupkanlah negeri-Mu yang mati." (Hadis Riwayat Abu Daud)

 

Dari Aisyah r.a. pula berkata; "Rasulullah s.a.w. apabila melihat hujan turun, beliau berdoa:

 

اَللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا  Allahumma Shoyyiban Na’fian 

"Ya Allah turunkanlah hujan yang membawa manfaat." (Hadis Riwayat Bukhari)

 

 

Berdoalah ketika hujan, kerana waktu itu doa adalah mustajab. Dua doa yang tidak pernah ditolak ialah doa ketika waktu adzan dan doa ketika hujan turun." (Hadis Riwayat Hakim, Abu Daud & Ibnu Majah)

 

Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan penuh tawaduk. Mudah-mudahan doa kita diperkenankan oleh ALLAH swt.

 

Sekiranya hujan turun bersama petir, guruh atau kilat bermohonlah, "Ya Allah aku berlindung kepada-Mu dari segala keburukan dari segala sesuatu yang Engkau kirimkan." Aamiin...

 

Dari Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. apabila mendengar kilat dan petir beliau berdoa: "Ya Allah, janganlah Engkau bunuh kami dengan kemurkaan-Mu, jangalah Engkau binasakan kami dengan azabMu dan ampunilah kami sebelum itu." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Hakim).

 

Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada pembaca budiman. ~ Selamat beramal ~ Bagi golongan muslimin, selamat menunaikan solat Jumaat dan bersegeralah ke Masjid kerana para Malaikat sedang menanti anda di sana. ~

 

Wassalam...