Pages

Friday, September 13, 2013

CAHAYA DAN KEBERKATAN AL-QURAN


Assalamu`alaikum.

Semoga sihat sejahtera dan selamat beristirehat. Agak lewat juga malam ni, nak post artikel dahulu sebelum offline.

"Apabila saya membaca buku beliau, air mata saya mengalir. Buku tulisannya saya khatam hanya sekali duduk sahaja. Hari ini, setelah buku beliau dibaca oleh puluhan ribu orang, ramai yang mengakui bahawa buku ini memang cukup berkesan dalam membangkitkan motivasi diri, khususnya agar bergantung harap hanya kepada Allah. Apa pun yang kita mahu dan impikan, semuanya boleh diminta daripada Allah. Beliau yang saya maksudkan adalah Prof Dr Muhd Kamil dengan bukunya berjudul Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman. 


Hari ini beliau sudah berhijrah ke Madinah, berkhidmat di sebuah Universiti di sana. Apa yang menarik tentang beliau adalah asalnya beliau seorang yang tidak tahu membaca al-Quran. Sungguh sukar untuk dipercayai seorang yang bergelar Profesor tidak tahu membaca al-Quran. Namun itulah hakikatnya sebagaimana yang dimaklumkan sendiri oleh beliau dalam buku dan ceramahnya.

Dalam bukunya beliau menulis:

"Saya bermula dengan alif, ba, ta. Saya sebut A-BA-BA, BA-SA-BA dengan menggunakan kaedah Qiraati. Ketika saya baru mempelajari Qiraati 2, mak dan bapa mertua datang ke rumah. Di dalam bilik, hati bersimpang siur samada mahu keluar belajar atau berdiam diri. Lapan belas tahun berkahwin dengan anak mereka, mereka tak tahu yang menantu ini buta al-Quran. Barangkali barulah mereka tahu yang selama ini saya hanya 'olok-olok' membaca ketika menghadiri majlis tahlil atau bacaan doa selamat di kampung."

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana ego Prof. Kamil ketika itu. Namun keikhlasan beliau mahu belajar semata-mata kerana Allah telah memberi kekuatan baginya untuk terus belajar. Walaupun beliau sedar rahsia yang tersimpan selama ini akan bocor, dan ia bocor di hadapan ibu dan bapa mertua sendiri, beliau memilih untuk berterus terang.

Tulis Prof. Kamil lagi:

Memang benar. Tidak tahu membaca al-Quran memang memalukan. Bertahun-tahun saya berasa malu dengan diri sendiri. Saya keluar dan mula belajar. Abah dan emak melihat apa yang sedang saya pelajari. Apabila selesai saya ceritakan pada abah, 'Abah, saya malu nak memberitahu, sebenarnya saya tidak pandai membaca al-Quran. Jadi saya belajar dari alif, ba, ta.'

"Abah membalas kata-kata saya dengan memberi semangat. Bagus Kamil. Payah orang mahu mengaku kelemahan sendiri. Cara Kamil belajar ni bagus. Abah dulu pun tidak macam ini. Abah tabik kesungguhan Kamil belajar ketika umur begini."


Dengan izin Allah, orang yang asalnya tidak tahu membaca al-Quran ini kini dijemput berceramah ke puluhan masjid di seluruh negara. Beliau berhasil menyuntik motivasi bahawa apa sahaja boleh diminta daripada Allah. Apa pun impian itu, modalnya serupa, iaitu berharaplah hanya pada Allah. Berdoalah, bersolatlah dan bertahajjudlah.

 

Bagaimana agaknya kehidupan Prof. Kamil di Madinah pada hari ini? Ternyata kehidupan beliau di sana kelihatannya sangat dicemburui oleh kita semua. Beliau bertemu kawan-kawan baru dan lama hampir setiap hari. Beliau menjemput mereka ke rumah dan menjamu dengan makanan yang sedap-sedap.

Agenda Prof. Kamil berkongsi ilmu yang bermanfaat Allah izinkan hingga ke Masjid Nabawi di Madinah. Allahuakbar, betapa berkatnya. Malah dalam usia 40-an, beliau diberi Allah keinginan untuk menghafaz al-Quran dan belajar bahasa Arab. Terbuktilah apa yang beliau impikan terlaksana jua dengan mudahnya.

Prof. Kamil telah membuktikan betapa kehidupan di dunia ini boleh menjadi 'syurga' jika kita benar-benar mahu berusaha menjadi orang bertakwa. Beliau sudah membuktikannya. Apakah impian itu untuk kesenangan kehidupan di dunia ataupun kesenangan kehidupan di akhirat?

Pernah juga saya terfikir mengapa beliau berhijrah ke Madinah. Mengapa beliau sanggup bersara awal dan meninggalkan segala yang sedang dimiliki di Malaysia? Dan jawapannya kepada soalan itu rupa-rupanya terjawab melalui satu tulisan dalam blog beliau.

Prof. Kamil menulis:

"Akhirnya saya akan bertanya, kenapa mahu menetap di Madinah? Di dalam al-Quran ada disebut dengan jelas tentang nilai pendapatan yang sebenar. Ia sangat menarik apabila Allah sendiri menyebutnya melalui ayat 60 hingga 61, surah as-Saffat yang bermaksud: "Sesungguhnya, (nikmat-nikmat kesenangan syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. Untuk memperolehi (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia)."

 


Begitulah apa yang di sampaikan oleh Penulis Fathuri Salehuddin di dalam bukunya "Mudahnya Menjemput Rezeki" di halaman 131, Bab 29 dengan tajuknya "Berkat Belajar Al-Quran". Saya tertarik dengan tulisan tersebut dan kongsikannya di sini untuk manfaat bersama.

Nota: Saya mengenali Prof. Dr. Mohd Kamil Ibrahim melalui buku-buku tulisan beliau, "Travelog Haji" dan Travelog Dakwah". Buku-buku tulisan Prof. Kamil sangat memberi kesan di hati, kerana setiap yang dilaluinya dikongsi dari hati seikhlasnya. Kini sedang menunggu buku keluaran terbaru beliau "Travelog Haji Mengusik Hati", di samping mengikuti tulisan-tulisannya di Universiti MKI.


Wassalam.



No comments:

Post a Comment