Pages

Friday, September 6, 2013

BERNIAGA WALAUPUN TELAH KAYA



Ya, tidak salah menjadi orang kaya. Malah, dalam Islam kita dilarang hidup dengan meminta-minta. Walau bagaimanapun, kekayaan yang dimiliki samada melalui jalan terpijak atau dengan usaha keras, dibayar oleh majikan atau dengan hasil urusan perniagaan, hendaklah dikendalikan mengikut syariat Islam.

Umat Islam mesti kaya. Kaya harta, kaya hati dan budi. Harta adalah nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Umat Islam juga perlu bijak menguruskan kehidupan di dunia supaya seimbang dengan kehidupan di akhirat. Dengan memiliki kekayaan yang diberkati, dapat memberikan ketenangan jiwa dan minda yang hakiki kepada pemiliknya. Apa yang pasti, harta yang diberkati akan sentiasa bertambah dan tidak terputus-putus, bagaikan Sungai Nil yang mengalir di sepanjang bumi Mesir. Semestinya, kebahagiaan di akhirat juga akan diperolehi.

Apa yang kita amat bimbang jika umat Islam termasuk dalam golongan sebagaimana yang disebut dalam surah Al-Kahfi : ayat 103-104 yang bermaksud; "Katakanlah wahai Muhammad; Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) Orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, dan mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan."

Harta juga merupakan tipu daya yang paling mudah untuk menggelincirkan iman seseorang. Oleh kerana itulah kita perlu berwaspada. Umat Islam selalu diingatkan agar mencari harta yang halal melalui jalan atau sumber yang halal. Harta yang pada asalnya halal seperti mendapat gaji setiap bulan dari majikan tetapi diperolehi melalui jalan haram dengan mencuri masa bekerja, tetap haram jadinya. Harta yang diperolehi akan menjadi darah daging, akan diberi makan kepada ahli keluarga dibawah tanggunggan. Jika sumbernya haram, susah hendak menjawab soalan-Nya di sana nanti.

Kita wajib bersangka baik kepada ALLAH s.w.t. Walau bagaimanapun, kita tidaklah boleh bersangka baik bahawa ALLAH s.w.t. sentiasa meredhai setiap perbuatan kita dengan cara melimpahkan kejayaan dan kekayaan sebagai tanda ALLAH s.w.t. menyayangi kita, sedangkan kita tidak melakukan apa yang disuruh dan tidak pula meninggalkan apa yang dilarang.

Sebenarnya, bagi orang yang ditimpa istidraj, ALLAH s.w.t. mahu mereka leka oleh kekayaan dan hartanya yang banyak. Semakin jauh daripada Tuhan, semakin kaya. Semakan malas melakukan solat, semakin berjaya. Waspadalah dan renungkan ayat berikut yang bermaksud; "Kemudian, apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu  segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)." [surah Al-An`Am : ayat 44].

ALLAH s.w.t. berkuasa melimpahkan harta kepada seseorang itu semahu-mahu-Nya dan DIA jualah yang berhak menariknya serta merta. Bayangkan sahaja, kemewahan ditarik tanpa notis. Kesenangan direnggut tanpa amaran awal. Sama seperti kes Qarun yang ditelan bumi. Sama seperti Tsa`labah yang jatuh miskin ketika sedang asyik menikmati kekayaannya. Ketika itu, hanya iman dan taubat sahaja yang boleh menyelamatkan seseorang.

 


Pada zaman Rasulullah s.a.w., Abdul Rahman bin Auf , adalah antara sahabat baginda yang kaya dan mahir dalam ilmu perniagaan. Beliau seorang hamba yang berdagang demi akhiratnya. Suka memberi dan berkongsi kemewahan. Kekayaannya langsung tidak berkurangan malah Allah melipatgandakan lagi harta kekayaannya. Kata beliau, "Aku merasa cukup dengan untung yang sedikit tetapi diberkati Allah."

Semoga perkongsian ilmu ini memberi manfaat kepada semua, in sya Allah.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment