Dalam surah al-Ahzab
ayat 56, Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah dan
malaikat-Nya berselawat kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang
beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam
sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Demikianlah firman Allah. Allah memulakan ayat di atas dengan menerangkan bahawa Diri-Nya dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi Muhammad. Maksud selawat Allah kepada Nabi Muhammad ialah pujian dan pengagungan Allah kepada baginda. Sementara maksud selawat para malaikat ialah mendoakan keberkatan kepada baginda. Ayat di atas dilanjutkan dengan perintah agar kita umat Islam turut berselawat dan memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW.
Merujuk kepada ayat
di atas, para sahabat telah bertanya kepada Rasulullah tentang
bagaimana cara berselawat kepada baginda. Lalu baginda menjawab dengan
mengajar cara bacaan selawat. Bacaan itu adalah apa yang
selalu kita baca ketika duduk tasyahud dalam solat setiap hari. [Shahih al-Bukhari, no: 4797] Di dalamnya terkandung ucapan salam kepada Rasulullah: “Assalamu ‘alaika
aiyyuhan Nabi, waRahmatullahi waBarakatuh.” Di dalamnya juga terkandung ucapan selawat kepada Rasulullah, iaitu apa yang dimulai dengan “Allahumma sholli ‘ala
Muhammad…” hinggalah “…innaka hamidun majid”.
Antara ganjaran yang
bakal diterima ialah sebagaimana sabda baginda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [Shahih Muslim, no: 577]
Dalam hadis lain: “Sesiapa dari kalangan umatku yang
berselawat kepadaku dengan ikhlas dari dalam hatinya, maka dengan
(selawat itu) Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali,
mengangkat baginya sepuluh darjat, mencatat baginya sepuluh
kebaikan dan menghapuskan baginya sepuluh keburukan.” [Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 1659]
Sekali pun Rasulullah sudah
meninggal dunia, ucapan selawat daripada orang yang hidup tetap akan disampaikan kepada baginda. Rasulullah bersabda: “Di mana jua kalian berada, berselawatlah kepadaku kerana
sesungguhnya selawat kalian sampai kepadaku.” [Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 1665] Pada ketika yang lain baginda mengingatkan: “Tidaklah seseorang
mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah mengembalikan ruhku sehingga aku menjawab salamnya.” [Shahih al-Targhib wa al-Tarhib,
no: 1666] Kedua-dua hadis ini juga
menunjukkan bahawa kita tidak perlu “kirim salam” kepada
Rasulullah melalui saudara-mara atau rakan-rakan yang akan pergi
menunaikan haji atau umrah.
Jika orang yang
berselawat mendapat ganjaran yang besar, maka orang yang enggan
berselawat akan mendapat balasan yang sebaliknya. Rasulullah
mengingatkan: “Orang yang kedekut ialah sesiapa yang
apabila aku disebut di sisinya, dia tidak berselawat ke atasku.” [Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 1683] Baginda juga pernah bersabda: “Alangkah hinanya
orang yang aku disebut di sisinya lalu dia tidak berselawat ke atasku.” [Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 1680]
Oleh itu apabila kita mendengar atau membaca “Nabi” atau
“Rasulullah”, hendaklah kita segera berselawat kepada baginda. Ucapan
selawat yang ringkas ialah
“shallallahu ‘alaihi wasallam” sementara yang panjang lagi
terbaik ialah sebagaimana dalam bacaan tasyahud. Hendaklah kita
melazimkan diri agar tidak lupa kerana
sesiapa yang lupa atau mengabaikannya “…maka dia akan disimpangkan dari jalan ke syurga” [Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 1681]
SELAWAT AN NUR (link dibawah)
http://www.youtube.com/watch?v=-CCjU1wkCb4

No comments:
Post a Comment